Thursday, 29 August 2013

LUCAS LEIVA: SETELAH 6 TAHUN


Tanggal 28 Ogos 2007, ketika Liverpool menentang Toulouse dalam saingan Champion's League dan pada minit 68', Mohammed Sissoko digantikan dengan Lucas Leiva yang baru dibeli dari Gremio pada harga £5 juta. Debut beliau menimbulkan pelbagai spekulasi dan ramalan, bahawa jarang sekali pemain Brazil menyarung jersi Liverpool selain dari Fabio Aurelio. Itupun, Aurelio sudah mempunyai pengalaman di pentas Eropah sebelum berhijrah ke Anfield. Untuk Lucas Leiva, mereka masih tertunggu-tunggu, kerana beliau terus dari Liga Brazil ke pentas Eropah, ada yang meramal memiliki bakat Samba yang tulen, tiada pengaruh continental.

Ternyata jangkaan ini meleset, kerana Lucas tidak mempamerkan elemen-elemen Samba dalam aksinya bersama Liverpool, tambahan lagi Lucas dilihat sering ketinggalan dalam serangan-serangan yang dikemudi oleh Gerrard, Alonso, Luis Garcia pada ketika itu. Beliau juga sering hilang possession, kawalan bola yang tidak baik serta tidak mampu merampas bola dari pihak lawan dengan baik. Pada ketika itu, peminat Liverpool sudah mula merasakan bahawa membeli Lucas adalah suatu kesilapan Rafa Benitez. Namun Benitez tetap mempertahankan Lucas, dan percaya bahawa Lucas akan menjadi potensi besar dalam tahun-tahun yang akan datang. Lucas terus diturunkan, dan menjadi bahan kritikan. Sebahagiannya saya perhatikan kritikan-kritikan yang keras dari peminat Liverpool sendiri, sehingga pernah di "boo" oleh Kopites sendiri.

Musim berlalu, Xabi Alonso berhijrah ke Real Madrid, Mascherano pula berhijrah ke Barcelona, kini hanya tinggal Lucas. Bermula dari sini, beliau menggalas tugas Defensive Midfield, yang memerlukan kombinasi fizikal, mental dan intelligence untuk menjadi DM yang baik dalam bola sepak moden. Pada ketika Liverpool kehilangan 2 tonggak utama ini, Lucas diberi peluang menggalas peranan yang ditinggalkan oleh Alonso dan Mascherano. Catatan statistik mula menunjukkan kebolehan Lucas yang sebenar. Kawalan tempo, combative tackle dan marking serta key passing untuk barisan serangan melakukan serangan. Kualiti ini mula terlihat dalam permainan Lucas, kritikan mula bertukar menjadi pujian. Lucas telah tampil antara yang mempunyai successful tackle rate yang tertinggi dalam kempen BPL 2011/12, dan mula disanjung atas peranannya menggerakkan serangan dan mengawal tempo permainan dari posisi defensive. Pada musim yang sama juga, persembahan cemerlang beliau terhenti, lantaran kecederaan lutut yang kritikal, mengakibatkan beliau tidak beraksi bersama Liverpool untuk baki musim tersebut.

Kempen 2013/14, menyaksikan Lucas kembali pulih dan berada dalam kesebelasan utama sistem Rodgers. Lucas sudah bekerja dengan 4 bos yang berbeza di Liverpool, bermula dari Rafa Benitez, Roy Hodgson, Kenny Dalglish dan terkini, Brendan Rodgers dan masih kekal di dalam sistem atas kerana dinamik yang dihasilkan dari beliau dari posisi DM. Setelah 6 tahun bersama Liverpool, bermula dari kritikan dan kini menjadi tonggak Liverpool yang disegani. Lucas, YNWA

No comments:

Post a Comment